PENGENALAN


PENDAHULUAN

Geografi merupakan mata pejalaran teras di peringkat Sekolah Menengah Rendah dan sebagai mata pelajaran elektif di peringkat Sekolah Menengah Atas. Mata pelajaran Geografi bertujuan untuk melengkapkan murid dengan pemahaman dan kemahiran asas geografi serta nilai-nilai kemanusiaan. Mata pelajaran ini menyediakan murid menghadapi cabaran hidup ke arah mewujudkan kesejahteraan diri dan masyarakat. Mata pelajaran Geografi merupakan kesinambungan mata pelajaran Kajian Tempatan di sekolah rendah. Kandungan mata pelajaran Geografi adalah relevan dengan kehidupan manusia.

Kandungan mata pelajaran Geografi digubal berdasarkan pemahaman bahawa bumi dan alam sekitarnya adalah ruangan kediaman manusia. Kandungan ini merangkumi kajian tentang interaksi manusia dengan alam sekitar fizikal dan alam sekitar manusia. Kajian ruangan merangkumi pemahaman murid tentang Kemahiran Geografi, Geografi Fizikal dan Geografi Manusia. Aspek-aspek ini dikaji dalam pelbagai komuniti di peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa.

Mata pelajaran Geografi juga memupuk nilai-nilai hidup yang harmonis dan sejahtera serta memupuk nilai amanah, bersyukur, kesederhanaan, bertanggungjawab, tidak mementingkan diri sendiri dan mencintai alam sekitar. Pemahaman murid tentang alam sekitar fizikal dan alam sekitar manusia dapat menerapkan semangat patriotik serta mewujudkan sensitivity murid terhadap fenomena alam secara setempat dan global. Usaha ini selaras dengan matlamat dan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

MATLAMAT

Kurikulum Geografi membolehkan murid memahami fenomena geografi berfokus kepada negara Malaysia dan hubungannya dengan negara-negara lain supaya dapat melahirkan murid yang berilmu, bertanggungjawab, bersyukur dan mengenali serta mencintai negara Malaysia.

OBJEKTIF

Kurikulum Geografi Sekolah Menengah membolehkan murid:

  1. Munghubungkaitkan aspek kedudukan, arah, skala dan jarak dalam organisasi ruangan.
  2. Mengumpul, menyusun, menganalisis dan menyampaikan data geografi berbentuk kuantitatif dan kualitatif.
  3. Memberi pendapat secara kreatif dan kritis, mengenal pasti dan mengkaji masalah semasa daripada aspek geografi serta membuat keputusan dengan bertanggungjawab.
  4. Menjelaskan fenomena alam dan saling kaitannya dengan manusia berasaskan taburan dan pola-pola yang wujud di negara Malaysia dan negara-negara lain.
  5. Mengenal pasti cara hidup dan budaya pelbagai komuniti di negara lain serta menghargai ciri-ciri persamaan dan kelainannya.
  6. Memerihalkan keadaan saling memerlukan dalam sistem alam, kegiatan ekonomi, sosial dan politik antara satu negara dengan negara lain.
  7. Menerangkan kesan kegiatan manusia ke atas alam sekitar serta pentingnya menguruskan alam dan sumber dengan bertanggungjawab dan bijaksana.
  8. Mengenali, menghargai dan berbangga terhadap ciri-ciri geografi negara Malaysia yang istimewa dan unik.
  9. Menggabungjalin pelbagai fakta geografi dan dapat membuat kesimpulan yang rasional.
  10. Mensyukuri dan mencintai alam, bersederhana dan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan dan peka terhadap perasaan serta keperluan orang lain.

1 comment: